Jumat, 11 Mei 2012

~* Lelaki Yang Baik *~






السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ


~* Lelaki Yang Baik Ibarat Petani Yang Baik *~


Lelaki ibarat petani. Dan perempuan ibarat tanah.
Petani Baik, Tanah Pun Baik

Petani yang baik apabila bertemu dengan tanah yang subur tentunya akan melahirkan hasil tanaman yang bermutu tinggi. Kerana benih yang ditanam oleh petani yang baik bukan sahaja dibiarkan ia tumbuh begitu sahaja, malah akan dijaga dan diteliti tumbesarannya dengan tekun sekali.

Dengan ketelitian dan kesungguhan si petani yang baik tadi, tanah yang subur juga tentunya tidak mahu mengecewakan si petani dengan sedaya upaya mengeluarkan hasil yang terbaik dari isi perut bumi untuk dituai si petani. SubhanALLAH, akhirnya tumbuh melatalah rezeki kurniaan ALLAH di muka bumi ini dengan rezeki yang baik-baik.

Petani Tidak Baik, Tetapi Tanah Baik

Bayangkan pula apabila petani yang tidak baik bertemu dengan tanah yang subur. Dengan sifat kejahilan si petani, ditambah dengan sifat kemalasan, cuai, leka dan mengabaikan tanah yang subur itu, akan mengakibatkan tanah yang subur itu mengeluarkan hasil yang tidak bermutu tinggi. Hasil tanaman yang dikeluarkan oleh tanah yang subur itu akan mudah rosak dan keadaan rupa bentuk tanah yang subur itu menjadi tidak teratur dan ditumbuhi semak.

Lebih malang lagi jika si petani yang tidak baik itu bukan sahaja tidak menjaga dan memanfaatkan tanah yang subur itu, malah merosakkan pula tanah tersebut. Akhirnya, tentulah tanah yang pada asalnya subur itu bertukar menjadi tanah yang rosak. Sayang sekali si tanah tidak dapat mengeluarkan produk terbaik dek kerana perbuatan si petani yang tidak baik itu.

Petani Baik, Tetapi Tanah Tidak Baik

Bayangkan pula apabila si petaninya bagus dan baik, tetapi tanah yang ditemuinya pula tidak subur. Dalam kes sebegini, tentulah tidak sama seperti si petani yang baik bertemu dengan tanah yang subur. Si petani yang baik tentunya akan berusaha segigih mungkin untuk menjadikan tanah yang pada asalnya tidak subur menjadi lebih subur. Bukan mudah.

Mujahadahnya lebih tinggi dan pengorbanannya juga lebih besar. Dicuba bermacam-macam kaedah, trial & error, dirujuk sana sini untuk mendapatkan nasihat pakar dan lain-lain lagi usaha bagi menjayakan usaha murninya itu. Bukan calang-calang petani yang dapat mengusahakan tanah yang tidak subur, bahkan menghasilkan hasil yang baik. Berkat usaha yang yang tidak mengenal jemu dan kesabaran yang tinggi, maka insyaALLAH akan berjaya juga. Jika gagal juga, beralih sahajalah ke tanah yang lain yang lebih berprospek tinggi.

Petani Yang Tidak Baik, Tanah Juga Tidak Baik

Oh, yang ini saya rasa tidak perlulah diceritakan. Fikirlah sendiri…
Lelaki Yang Baik Bisa Merubah Keadaan

Jika dilihat beberapa kes di atas, hampir dapat kita simpulkan bahawa peranan dan sikap si petani menjadi faktor yang sangat penting untuk berjayanya sesuatu usaha pertanian.

Di awal tulisan telah saya umpamakan si petani sebagai seorang lelaki dan tanah sebagai seorang perempuan. Cuba fikirkan perumpamaan tersebut.

Ya, lelaki memainkan peranan yang sangat penting di dalam hubungan rumahtangga. Si lelaki atau si suami mesti mempunyai sifat positif yang banyak untuk dia mengemudikan rumahtangganya menjadi rumahtangga yang berjaya.

Lebih mudah jika si isteri turut sama mempunyai sifat positif yang banyak, kerana ini akan memudahkan pelayaran rumahtangga yang sejahtera. Malah akan menghasilkan zuriat-zuriat yang baik daripada mereka berdua.

Sekiranya si lelaki tidak mempunyai sifat positif yang banyak, malah ditenggelami pula dek sifat-sifat negatif, tentulah rumahtangga akan mudah goyang. Kita lihat banyak kes-kes isteri yang setiap hari yang makan hati dan berulamkan jantung akibat sikap lelaki yang zalim. Kadang-kadang yang sedihnya, si isteri punyalah baik dan sabar, tetapi terpaksa berhadapan dengan karenah si suami yang bermacam-macam itu.

Jika dilihat senario si suami yang baik tetapi si isteri pula buat perangai, di sini memerlukan kepandaian si suami untuk membentuk dan mendidik isteri itu menjadi baik. Bukan mudah. Tak ramai yang sanggup. Si suami yang penyabar dan hikmah sahaja yang mampu menempuhinya.

Jadi, ingin saya seru:

“Wahai diri ini dan lelaki semuanya, tidak kira samada dewasa atau masih remaja, berusahalah menjadi lelaki yang baik. Bukankah ALLAH telah mengiktiraf ‘Arrijalu qowwamuna `ala nnisa’? Pengiktirafan ini bukan untuk diegokan atau didabikkan dada, tetapi ia menuntut kita semua, lelaki-lelaki agar lebih bersedia dan trampil untuk menjadi pemimpin dan menjadi pembela kepada golongan wanita. Janganlah kita menjadi perosak mereka, malah mengambil kesempatan mereka pula”
Air, Cahaya, Keredhaan ALLAH Dan RahmatNYA

Jika petani diibaratkan lelaki atau suami. Tanah diibaratkan perempuan atau isteri. Air dan cahaya yang menyinari tanaman-tanaman pula boleh kita ibaratkan sebagai redha dan rahmat ALLAH.

Sebagaimana tanaman tidak boleh subur tanpa air dan cahaya, walaupun petaninya bagus dan tanahnya subur, begitulah juga perlunya redho dan rahmat ALLAH di dalam sebuah rumahtangga. Redho dan rahmat ALLAH sangat-sangat dihajatkan oleh kita sebagai manusia dalam semua perkara, termasuklah dalam hal rumahtangga.
Jadilah lelaki dan suami yang baik.
Jadilah wanita dan isteri yang baik.
Dan pohonlah redho serta rahmat ALLAH.

Semoga rumahtangga yang kita bina sejahtera selama-lamanya, 

ﺁﻣِّﻴﻦَ ﻱَ ﺭَ ﺑَّﻞْ ﻋَﻠَﻤِﻴّﻦْ ..

وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

...Salam Ukhuwah.... ...